KPJUC PERKASA INTEGRITI GENERASI MUDA

Nilai – KPJ Healthcare University College (KPJUC) telah dipilih sebagai lokasi bagi Program Memperkasakan Integriti 2018 yang julung kalinya dianjurkan oleh Peserta Program Certificate Integrity Officer (CeIO) Sektor Swasta Johor Corporation dan Akademi Pencegahan Anti-Rasuh Malaysia (MACA). Objektif utama kempen ini adalah untuk mendidik generasi muda terutamanya golongan mahasiswa dan mahasiswi KPJUC tentang kepentingan berintegriti selari dengan tema iaitu ‘Membudayakan Integriti Secara Berhemah dan Tuntas.

Program dimulakan dengan acara Zumba yang disertai oleh lebih 200 penuntut KPJUC bagi menerapkan kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Turut hadir ialah Tn Hj Onn Ismail, Naib Presiden, Divisyen Tadbir Urus dan Ekosistem Bisnes, Johor Corporation bagi acara gimik dan seterusnya perasmian program ini. Datin Sabariah Fauziah Jamaluddin, Pengarah Eksekutif KPJUC dan Dato’ Ganason Periathamby, Timbalan Pengarah, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia telah berbesar hati untuk hadir sama pada program ini.

Antara pengisian program lain ialah sesi ceramah bertajuk Membudayakan Integriti Secara Berhemah dan Tuntas yang disampaikan oleh Pn Zakiah Hassan, Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM dan forum bertajuk Sosial Media dan Anda. Aktiviti terakhir ialah Treasure Hunt – Integrity Champion yang disertai seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan tenaga kerja KPJUC, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan wakil Management Training Program (MTP) KPJ Healthcare Berhad. Majlis penutup program ini disampaikan oleh Ybhg Dato’ Hj Idris Bin Zaharudin, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia.