Mahasiswa KPJUC Perihatin Kesihatan Gelandangan Ibu Kota

Kuala Lumpur, 19 Januari 2019 (Sabtu), KPJ Healthcare University College (KPJUC) telah menganjurkan program khidmat masyarakat yang bertemakan “Care for The Homeless 2019” bertempat di Pusat Transit Gelandangan dan beberapa lokasi lain di sekitar ibu kota.

Program khidmat masyarakat ini dikendalikan oleh mahasiswa KPJUC dari bidang Farmaseutikal, Kejururawatan, Fisioterapi, Pengimejan Perubatan dan Pengurusan Perniagaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Empire Project dan Anak Muda Pandan (AMP).

Tujuan utama program ini dijalankan ialah untuk memupuk dan melahirkan sikap prihatin, penyayang serta saling membantu di kalangan generasi muda terutamanya mahasiswa KPJUC. Selain itu, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada para gelandangan tentang kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

Pada program ini, mahasiswa KPJUC berkongsi penerangan dan demonstrasi mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang betul dengan para gelandangan. Selain itu, perkhidmatan gunting rambut secara percuma juga disediakan kepada mereka.

Mahasiswa KPJUC juga sempat ke sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Masjid Negara, Pudu Raya, Dataran Maybank dan Pasar Seni untuk mengagihkan kit kebersihan serta makanan kepada gelandangan sekitar kawasan tersebut.