KPJUC PERKASA INTEGRITI GENERASI MUDA

Nilai – KPJ Healthcare University College (KPJUC) telah dipilih sebagai lokasi bagi Program Memperkasakan Integriti 2018 yang julung kalinya dianjurkan oleh Peserta Program Certificate Integrity Officer (CeIO) Sektor Swasta Johor Corporation dan Akademi Pencegahan Anti-Rasuh Malaysia (MACA). Objektif utama kempen ini adalah untuk mendidik generasi muda terutamanya golongan mahasiswa dan mahasiswi KPJUC tentang kepentingan berintegriti selari dengan tema iaitu ‘Membudayakan Integriti Secara Berhemah dan Tuntas.

Program dimulakan dengan acara Zumba yang disertai oleh lebih 200 penuntut KPJUC bagi menerapkan kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Turut hadir ialah Tn Hj Onn Ismail, Naib Presiden, Divisyen Tadbir Urus dan Ekosistem Bisnes, Johor Corporation bagi acara gimik dan seterusnya perasmian program ini. Datin Sabariah Fauziah Jamaluddin, Pengarah Eksekutif KPJUC dan Dato’ Ganason Periathamby, Timbalan Pengarah, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia telah berbesar hati untuk hadir sama pada program ini.

Antara pengisian program lain ialah sesi ceramah bertajuk Membudayakan Integriti Secara Berhemah dan Tuntas yang disampaikan oleh Pn Zakiah Hassan, Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM dan forum bertajuk Sosial Media dan Anda. Aktiviti terakhir ialah Treasure Hunt – Integrity Champion yang disertai seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan tenaga kerja KPJUC, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan wakil Management Training Program (MTP) KPJ Healthcare Berhad. Majlis penutup program ini disampaikan oleh Ybhg Dato’ Hj Idris Bin Zaharudin, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia.

 

   
   

 

KEBANGGAAN KPJUC

Sekalung tahniah kepada Norazlina Mohamad Zah, Pensyarah School of Pharmacy kerana telah berjaya dianugerahkan Diamond Award Invention untuk kategori Young Inventor: Post Graduate Category di Invention, Innovation, & Design Exposition (IIDEX) 2018 bertempat di Universiti Teknologi MARA (UITM) Shah Alam, Selangor. Acara tahunan anjuran UITM ini adalah sejajar dengan teras ketiga Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara iaitu Meningkatkan Penyelidikan dan Inovasi. Norazlina menerusi pembentangan bertajuk Padina® telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil pada IIDEX 2018 ini. Tahniah atas kejayaan anda daripada kami seluruh warga KPJUC.

KPJUC TAWAN GUNUNG RAJAH

KPJUC Tawan Gunung Rajah
Pada 22 & 23 September 2018 (Sabtu & Ahad), KPJUC Adventure Hiking Club telah menganjurkan aktiviti mendaki Gunung Rajah, Bentong, Pahang yang disertai oleh 27 orang pelajar dan 8 kakitangan KPJUC. Objektif utama aktiviti ini ialah untuk mendidik para peserta tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Di samping itu, para peserta juga dapat menikmati keindahan Gunung Rajah. Para peserta bertolak seawal 4.00 pagi dari KPJUC dan memulakan pendakian pada pukul 7.30 pagi. Para peserta kemudiannya tiba di lokasi campsite pada pukul 2.30 petang untuk mendirikan khemah dan berehat. Mereka kemudiannya memulakan pendakian ke puncak pada pukul 1.30 pagi. Para peserta berjaya tiba di puncak Gunung Rajah pada 7.15 pagi.

SEMINAR PERAWAT MESRA IBADAH 2018

Seminar Perawat Mesra Ibadah 2018

Pada 22 September 2018 (Sabtu), KPJUC Nursing Student Association (NUSA) telah menganjurkan Seminar Perawat Mesra Ibadah 2018 bertempat di Auditorium 2, Bangunan Akademik, KPJUC. Seminar ini bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai cara pengurusan ibadah dengan jelas terutama ketika sakit. Para peserta juga didedahkan dengan kepentingan menitikberatkan ilmu agama Islam dalam mengaplikasikan cara pengurusan ibadah yang betul untuk pesakit. Selain itu, seminar ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran bahawa Islam itu mudah dan tidak membebankan. Seramai lebih 50 orang pelajar KPJUC yang terdiri daripada pelajar Diplma in Nursing teribat dalam seminar ini. Terdapat tiga sesi sepanjang seminar ini berlangsung iaitu sesi pertama yang merupakan cermah mengenai Perawat Mesra Ibadah yang disampaikan oleh Tn Hj Mohd Izham Mohd Zain, Dekan School of Health Sciences. Sesi kedua pula ialah Perawat dan Kefahaman Fiqh Perubatan dalam Islam dan sesi ketiga ialah demonstrasi membantu pesakit, mengambil wuduk, tayamum dan bersolat yang disampaikan oleh Kapten Ustaz Lukman Abd Wahab, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Turut hadir merasmikan seminar ini ialah Tn Hj Mohamad Rosli Yusof, Timbalan Pengurus, KPJUC dan Pn Puziah Yusof, Timbalan Dekan School of Nursing.

 

 

PAGI BERSAMA PU AZMAN

Pada 21 Ogos 2018 (Selasa), KPJ Healthcare University College (KPJUC) telah mengajurkan forum Pagi Bersama PU Azman bertempat di Auditorium 1, KPJUC. Forum yang bertajuk Media Sosial: Pengorbanan dan Kebersihan ini disertai oleh seramai 250 pelajar dan kakitangan KPJUC. Forum ini dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidiladha 1439H yang bertujuan untuk berkongsi pendapat tentang penggunaan media sosial dari aspek pengorbanan dan kebersihan terhadap generasi muda pada masa kini. Pelajar dan kakitangan KPJUC juga amat bertuah kerana dapat mengajukan beberapa soalan pada sesi soal jawab kepada PU Azman. Turut hadir pada forum ini ialah Puan Nursakinah Bt Abdul Samad, Pengurus Operasi KPJUC. Forum ini diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati daripada KPJUC kepada PU Azman.

KPJ COLLEGE PENANG JUARA KEJOHANAN FUTSAL PIALA YDP SILAT CEKAK PUSAKA HANAFI PERINGKAT PULAU PINANG

Pada 4 Ogos 2018 (Sabtu), KPJ College Penang telah menyertai kejohanan Futsal MySilat Piala YDP Silat Cekak Pusaka Hanafi Pulau Pinang bertempat di D’Futsal Arowana, Permatang Pauh, Bukit Mertajam. Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi cawangan Pulau Pinang ini disertai oleh 8 pasukan dari sekitar Pulau Pinang. Ianya bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara para peserta dan menerapkan amalan gaya hidup yang sihat, cergas dan seimbang. Selain itu, kejohanan ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan KPJ College Penang dengan masyarakat luar melalui acara sampingan dan gerai pameran yang dianjurkan oleh pihak urusetia majlis. Kejohanan ini juga turut dihadiri oleh En Hermy Izwan Saidin, pembantu peribadi dan wakil kepada YB Dr Afif Bahardin, ADUN Seberang Jaya serta EXCO Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

CLINICAL EPIDEMIOLOGY AND RESEARCH METHODOLOGY” (CERM) WORKSHOP

KPJ Healthcare University College (KPJUC) hosted an intensive six day workshop entitled “Clinical Epidemiology and Research Methodology” (CERM) at KPJ Damansara Specialist Hospital from  20th – 22nd  and 27th – 29th July 2018. The workshop was an annual event of the Centre for Postgraduate Studies (CPGS) and Research Management Centre (RMC) KPJUC, led by Prof. Dato’ Dr. Azizi Hj. Omar in partnership with Prof Dato’ Dr Lokman Saim, Vice Chancellor of KPJUC. The purpose of the workshop was to bring together a multi-disciplinary group of speakers from our own KPJ and other healthcare institutions who are noted for their scholarly achievements to teach and coach aspiring clinical researchers the science and techniques of Clinical Epidemiology and clinical research. Skills in writing a sound research methodology, the application of appropriate statistical tests and critical appraisal of the literature were emphasized. It was a successful event attended by almost all the postgraduate students of KPJUC as well as some representatives from two KPJ Hospitals and KPJ Headquarters. After attending this workshop, we hope that participants will make profound contributions in all areas of healthcare through research, evidence-based practice and life long learning. For further information on CERM, kindly email to rmc@kpjuc.edu.my

(Attention to: Dr Faizah Safina or Puan Norul Huda).

 

 

KPJUC PERKASA KOMUNITI BEBAS DADAH

KPJUC PERKASA KOMUNITI BEBAS DADAH

 

Nilai, 16 Julai 2018  – KPJ Healthcare University College (KPJUC) telah dipilih sebagai tuan rumah untuk Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan dan Antarabangsa 2018 Peringkat Negeri Sembilan. Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sembilan kali ini membawa tema ‘Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita’.

Majlis telah dirasmikan oleh YAB Tuan Haji Aminudin Bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Ia dihadiri oleh YBhg Dato’ Amiruddin Abd Satar, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad (KPJ), dan Tuan Haji Aminudin Dawam, Pengarah Eksekutif KPJ Healthcare.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah YB Dr. Razali Ab Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan YBhg Dato’ Dr Hj Izhar Abu Talib, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia.

Beberapa agensi lain juga turut serta dalam program ini seperti Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, RTM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Belia Negeri Sembilan.

YBhg Dato’ Amiruddin, dalam ucapannya, menyatakan bahawa “KPJUC amat peka dan menyokong penuh aktiviti anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada generasi muda tentang bahaya dadah.

“KPJUC telah mengikuti beberapa aktiviti anjuran AADK semenjak tahun 2015. Ini bertujuan untuk memerangi penyalahgunaan dadah dan memberi kesedaran kepada mahasiswa dan masyarakat setempat. Di antara aktiviti-aktiviti yang telah disertai adalah ‘School Intervention towards Substance (SITS)’, ‘Forum Sembang Sayang dan Sokong’, ‘NGO Bersama Komuniti Bersatu Perangi Dadah’ dan ‘Training of Trainer: Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan’ sebagai tanda komitment yang tinggi terhadap usaha untuk memerangi penyalahgunaan dadah di kalangan mahasiswa. KPJUC berharap agar aktiviti-aktiviti ini dapat menyumbang kepada usaha untuk merealisasikan KPJUC sebagai sebuah universiti bebas dadah.”

KPJUC juga mengambil langkah mengemaskini polisi serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan setiap pelajarnya bebas daripada pengaruh dan ancaman dadah. Ujian saringan air kencing turut diadakan secara berkala dengan kerjasama AADK bertujuan untuk memastikan tiada pelajar KPJUC yang terlibat dengan gejala negatif ini. Para pelajar tertakluk kepada First Schedule to the Dangerous Drug Ordinance 1952 (Act 234) yang membolehkan mereka dikenakan tindakan undang-undang yang berat jika di dapati terlibat dalam gejala ini.

KPJUC, yang ditubuhkan sejak 27 tahun yang lalu, adalah sebuah kolej universiti yang fokus dalam menawarkan program perubatan dan sains kesihatan. Kampus utama KPJUC di Nilai mempunyai hampir 170 tenaga akademik / pensyarah dan 2,300 pelajar. Selain KPJUC di Nilai ini, terdapat 2 lagi kolej kejururawatan KPJ iaitu KPJ International College of Nursing and Health Sciences di Johor Bahru dan di Pulau Pinang.

Selain dari kolej universiti dan kolej kesihatan ini, terdapat sebuah lagi kolej yang menawarkan program-program diploma dalam bidang hospitaliti dan pengurusan, iaitu Malaysian College of Hospitality and Management (MCHM) di Johor Bahru.  Sehingga kini, KPJUC telah melahirkan 10,000 graduan professional kesihatan yang bekerja di Malaysia dan juga di luar negara.

Terkini, KPJUC menawarkan 36 program di pelbagai peringkat iaitu dari PhD (doktor falsafah), Sarjana (master), Sarjana Muda (bachelor) dan juga Diploma.

KPJUC telah membina reputasi yang dikenali di dalam industri kesihatan sebagai pusat latihan warga kerja yang berkualiti dalam pelbagai bidang dalam industri kesihatan, khususnya dalam program diploma dan pos basik kejururawatan (nursing).

Selain itu, 7 program sarjana muda kesihatannya juga mendapat sambutan memberangsangkan dari pelajar dan ibu bapa. Program kejururawatan, farmasi, physiotherapy, medical imaging, psychology dan occupational health therapy merupakan program pilihan pelajar matrikulasi dan lepasan diploma masa kini. Dengan pembiayaan pendidikan oleh hospital KPJ bagi pelajar yang layak  serta peluang pekerjaan selepas tamat belajar, KPJUC merupakan pilihan terbaik para pelajar dan ibu bapa utk meneruskan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

KPJUC juga merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi swasta yang mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk melatih doktor-doktor pakar (Medical Specialist) dalam pelbagai bidang. 4 program latihan kepakaran yang ditawarkan ketika ini kepakaran dalam bidang Otorhinolaryngologi (ORL) – Telinga, Hidung dan Tekak, Radiologi, Bedah Am (General Surgery) dan Bedah Tulang (Otopedik). Kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian ini membuktikan keupayaan KPJUC dan KPJ Health Berhad untuk menjadi peneraju pendidikan kesihatan terbaik di Malaysia dan di rantau ini.

 

 

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA KPJIC PENANG

Pada 6 Julai 2018 (Jumaat), KPJ College Penang telah menganjurkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang disertai oleh seramai 160 orang kakitangan kerja dan pelajar. Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu dari Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Hospital Adventist, Island Hospital, Farmasi Lotus, Farmasi Siang, BOMBA & Penyelamat (Seberang Perai), PTPTN, SK Sg Rambai, Sekolah Islam Rohingya, Rahsiabaru Ent, Akiran Sdn Bhd serta Alumni KPJIC Penang. Selain itu, para tetamu juga disajikan dengan persembahan tarian tradisional dan majlis jamuan ini berakhir pada 3.00 petang.

 

NUSA RAI KANAK-KANAK PERTUBUHAN KEBAJIKAN ULUL ALBAB

NUSA RAI KANAK-KANAK PERTUBUHAN KEBAJIKAN ULUL ALBAB

Pada 19 Mei 2018 (Sabtu), Nursing Students Association (NUSA), Diploma in Nursing Kohort 62, telah menganjurkan program kesihatan bertempat di Pertubuhan Kebajikan Ulul Albab, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. Seramai 70 orang kanak-kanak telah terlibat dalam program ini yang bermula seawall jam 8.30 pagi. Antara aktiviti yang dijalankan ialah demonstrasi cara mencuci tangan, aktiviti Teka-Teki Ramadhan, Art Therapy dan persembahan nasyid oleh kanak-kanak Pertubuhan Kebajikan Ulul Albab. Program ini diakhiri dengan majlis penyerahan sumbangan berbentuk alatan persekolahan, wang tunai dan barangan keperluan asas diserahkan kepada Cik Jannah, wakil daripada pertubuhan tersebut.